Thursday, May 12, 2011

INFO KERIAN


Lokasi
Daerah Kerian terletak di utara negeri Perak yang mana daerah ini bersempadanan dengan Negeri Pulau Pinang (Sempadan daerah Seberang Perai Selatan) dan negeri Kedah daerah Bandar Baharu. Di sebelah timur dan selatan, daerah ini bersempadan dengan daerah Larut, Matang dan Selama. dan di barat daerah ini adalah Selat Melaka.

Sungai Kerian
Keunikan daerah ini ialah kerana terletak bersempadan dengan 3 buah negeri yang mana Sungai Kerian adalah garis sempadan ketiga - tiga negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Hulu Sungai Kerian terletak di Selama, manakala Kuala Sungai Kerian terletak di Kampung Acheh, Daerah Seberang Perai Selatan.Pantai Ban Pecah
Ban Pecah adalah satu kawasan riadah pantai berbatu untuk kegiatan memancing di kerian, ia juga cukup terkenal dengan makanan lautnaya antaranya makanan yang menarik di kerian ialah 'kari sembilang merah' Ban Pecah juga sering dikunjungi oleh pelancong dari negeri Kedah,Pulau Pinang,Perlis malah ada pelancong dari Kuala Lumpur yang datang ke Ban Pecah ini umtuk memancing ikan sembilang merah yang hanya terdapat di daerah Kerian sahaja.
Cara Ke Sana
Untuk sampai ke daerah Kerian, pengunjung perlu mengambil keluar dari Plaza Tol Taiping Utara (untuk pergi ke Gunong Semanggol dan Kuala Selinsing) atau Plaza Tol Bandar Baharu (untuk pergi ke Bandar Parit Buntar atau Bandar Bagan Serai).

Asal-Usul Nama
Dalam lingkungan tahun 1800, Pegawai Residen British yang bertugas di Parit Buntar pada ketika itu telah menghadiri perbicaraan satu kes jenayah di Parit Buntar. Sewaktu pulang, beliau dan rombongannya telah menaiki kapal (wakang) menyusuri sungai untuk ke Pulau Pangkor. Dalam perjalanan tersebut, beliau telah menyebut "KIRIAN" (perkataan kiri) iaitu merujuk kepada tanah di sebelah kiri di bawah pemerintahan Sultan Perak. Perkataan "KIRIAN" telah menjadi popular dan menjadi bahan ejekan orang ramai pada ketika itu. Akhirnya ketika pihak pemerintah ingin menamakan daerah ini, perkataan "KIRIAN" telah dipilih dan diubah kepada "KERIAN".

Muka Bumi
Daerah Kerian berhampiran dengan Selat Melaka.Daerah ini mempunyai pantai sepanjang kira-kira 32 km. Keluasan Daerah ini lebih kurang 918.83 km persegi. Pada keseluruhannya, keadaan tanah dalam Daerah ini adalah rata dan bergambut di kawasan berhampiran pantai . Ketinggian kawasan ini kurang dari 50 meter dari aras laut.

Sementara kawasan berbukit-bukit di mukim Gunong Semanggol dan Beriah.Ketinggian Gunung Semanggol lebih kurang 150 m dari atas laut. Terdapat 2 sungai penting dalam daerah ini iaitu Sungai Kerian dan Sungai Kurau. Sungai Kurau , Kuala Kurau, Tanjung Piandang , Bagan Tiang, Kampung Gula asalnya kawasan paya. Tetapi kini telah ditebusguna untuk penanaman padi dan kawasan petempatan.

Terdapat beberapa kawasan paya bakau yang telah diwartakan sebagai kawasan di mana terdapat burung - burung yang berhijrah dari negara atas angin.

Pentadbiran Daerah
Daerah Kerian dibahagikan kepada lapan buah mukim iaitu Mukim Parit Buntar, Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Bagan Serai, Beriah, Gunong Semanggol dan Selinsing, tetapi ia terletak di bawah tujuh (7) pentadbiran Penghulu Mukim dan 90 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diamanah dan bertanggungjawab untuk mentadbir 246 unit kampung.

Daerah Kerian mempunyai 7 mukim utama iaitu Mukim Parit Buntar, Mukim Tanjung Piandang, Mukim Bagan Tiang, Mukim Kuala Kurau, Mukim Bagan Serai, Mukim Semanggol, Mukim Beriah dan Mukim Selinsing.

Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Parit Buntar. Daerah ini ditadbir oleh Majlis Daerah Kerian (MDK) yang mana pejabatnya terletak di Parit Buntar.

Bandar-bandar utama lain ialah Bandar Bagan Serai, Pekan Gunung Semanggol, Pekan Tanjung Piandang dan Pekan Kuala Kurau.

Ekonomi
Daerah ini dikenali sebagai Jelapang Padi Negeri Perak kerana terdapat kawasan - kawasan penanaman padi yang luas. Skim pengairan telah dibina di kawasan ini bagi tebusguna tanah. Terusan atau tali air dibina bagi memudahkan kawalan air masuk dan keluar dari sawah. Beberapa bahagian mengalami masalah banjir pada musim-musim tertentu.

Selain itu ramai penduduk bekerja sebagai nelayan terutama di Sungai Acheh, Bagan Tiang, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Penduduk
Mengikut laporan 'Banci Penduduk dan Perumahan 1991', jumlah penduduk Daerah Kerian ialah 148,575 orang. Pecahan mengikut jantina, 72,666 orang lelaki (48.09%) dan 75,909 orang perempuan (51.01%). Kepadatan penduduk Daerah Kerian dan kawasan yang menjadi tumpuan ialah Parit Buntar, Bagan Serai, Kuala Kurau dan Tanjung Piandang. Mukim Selinsing merupakan kawasan yang paling kurang penduduk. Purata kadar pertumbuhan penduduk Daerah Kerian ialah 1.4 setahun.

Masyarakat Banjar
Daerah ini terkenal dengan petempatan masyarakat Melayu berketurunan Banjar di sekitar Bagan Serai, Gunung Semanggol dan Alor Pongsu yang mempunyai keunikan budaya dan amalan hidup.

Ikhwanul Muslimin
Disinilah tempat di mana penubuhan Persatuan Ikhwanul Muslimin yang disifatkan oleh Penjajah British sebagai Penderhaka kerana tindakan kesatuan berkenaan menentang dasar penjajah British. Kumpulan berkenaan dianggap oleh British sebagai Musuh dari Gunung yang merujuk kepada penubuhan Persatuan berkenaan di Gunung Semanggol, akan tetapi persatuan ini akhirnya telah diharamkan oleh pihak Inggeris.
1950 Persidangan alim ulama seluruh Tanah Melayu di bawah anjuran UMNO . Telah timbul pandangan yang berlainan antara anggota UMNO.
1951 Persidangan alim ulama kali kedua , orang Melayu telah berpecah kepada dua parti iaitu UMNO dan PAS. Golongan ulama dalam UMNO yang telah keluar dari parti ialah Haji Ahmad Fuad , Haji Maliki dan Haji Ahmad Badawi.

Walaupun mereka dianggap sebagai tokoh yang telah mengambil peranan awal untuk menubuhkan PAS, tetapi yang berusaha mengadakan perjumpaan menubuhkan PAS ialah bekas pemimpin Hizbul Muslimin dari Gunung Semanggol, Perak. Antaranya ialah Ustaz Abu Bakar Al Baqir .

Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah telah menamakan sekolah sedia ada sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar al Baqir sempena nama Ustaz Abu Bakar Al Baqir , seorang negarawan yang terkenal khususnya di kawasan Perak Utara. Beliau merupakan seorang ulama dan nasionalis yang banyak menyumbang jasa kepada agama, bangsa dan negara khususnya melalui penubuhan Maahad Al-Ehya Al Shariff , Gunung Semanggol.